KUALA PILAH: Lebih 50 ekor ternakan kambing milik seorang ketua kampung mati akibat lemas dalam kejadian banjir di Kampung Air Taling, di sini, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Geduhum, Amir Mohd. Talib berkata, air banjir naik melebihi dua meter dan dia tidak sempat menyelamatkan kambingnya yang berada di kandang.
Bekas polis tersebut berkata, ketika kejadian banjir berlaku, dia terlebih dahulu menyelamatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai.
“Kawasan ini apabila sudah ditenggelami banjir memang tidak boleh balik semula dan saya duduk di pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan dua hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Kini hanya tinggal lapan ekor kambing masih hidup dalam kejadian banjir tempoh hari,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong perdana pascabanjir bersama agensi bencana daerah Kuala Pilah di sini, semalam.
Selain kehilangan haiwan ternakan, pelbagai barangan dalam rumahnya rosak termasuk dua kenderaannya tenggelam dalam banjiryang disifatkan paling teruk berlaku di kampung itu.
Lebih 200 individu terdiri daripada pasukan penyelamat dan agensi setempat membantu membersihkan kediaman penduduk di beberapa perkampungan terjejas. – UTUSAN