TAHUN 2024 bukan sahaja menyaksikan banyak kejayaan dan pencapaian besar bagi bintang-bintang terkenal Hollywood.
Malah, tahun ini juga dipenuhi kontroversi panas yang menjadi tajuk utama berita dan mencetuskan perdebatan meluas di kalangan warganet dunia.
Bermula dengan dakwaan dan tuduhan mengejutkan sehingga kesilapan dalam pemasaran, industri hiburan di Barat menyaksikan beberapa bintang terkemukanya kecundang teruk daripada puncak kemasyhuran.
Pelbagai skandal yang berlaku bukan sahaja menggugat kerjaya mereka sebagai individu tetapi turut mencemarkan keindahan dunia glamor Hollywood itu sendiri. Berikut adalah lima kontroversi hangat tersebut.
SEAN ‘DIDDY’ COMBS: SKANDAL PENDERAAN SEKSUAL DAN PEMERDAGANGAN
Sean ‘Diddy’ Combs terjerat dalam kontroversi paling menggemparkan pada tahun ini. September lalu, mogul muzik ini menghadapi pelbagai tuduhan penderaan seksual, pemerdagangan manusia, dan keganasan fizikal selepas satu tuntutan mahkamah difailkan di New York. Salah satu tuduhan paling mengejutkan adalah paksaan terhadap wanita untuk menghadiri parti liar “freak off” miliknya. Selepas serbuan di kediamannya di Los Angeles, pihak berkuasa merampas bahan narkotik dan bahan lain berkaitan dakwaan tersebut. Diddy yang mengaku tidak bersalah, kini ditahan di Metropolitan Detention Center, Brooklyn. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara seumur hidup.
PENYINGKIRAN OSCARS: MARGOT ROBBIE DAN GRETA GERWIG
Pencalonan Oscars 2024 mendapat kecaman hebat apabila filem Barbie, salah satu filem paling dihargai pada 2023, tidak tersenarai dalam kategori utama. Margot Robbie, yang membintangi filem itu dan Greta Gerwig (pengarah), dilihat tidak tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik. Ia kemudiannya mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet. Penyingkiran ini menimbulkan persoalan tentang isu bias antara jantina dan kriteria baru Akademi.
ISU UNDANG-UNDANG KANYE WEST
Kanye West, yang kini dikenali sebagai Ye, menambah satu lagi skandal dalam senarai panjang kontroversi yang dipegang dalam rekod kehidupannya. Tahun ini, bekas pembantunya, Lauren Pisciotta, memfailkan tuntutan mahkamah setebal 88 halaman dan menuduhnya melakukan gangguan seksual dan penyalahgunaan dadah. Tuduhan ini, termasuk sesi studio yang tidak sesuai bersama Sean ‘Diddy’ Combs yang turut mencemarkan imej West yang sudah sedia ada kontroversial. Isu undang-undang ini muncul selepas skandal sebelumnya, termasuk kenyataan anti-Semitik dan fatfobia.
REAKSI BALAS BRONX TERHADAP JENNIFER LOPEZ
Penyanyi, Jennifer Lopez berdepan kritikan hebat selepas pelancaran dokumentari Amazon Prime, The Greatest Love Story Never Told. Dalam dokumentari itu, Lopez menggambarkan zaman kanak-kanaknya di Bronx dengan cara yang dianggap ramai sebagai ‘dibuat-buat’ dan tidak menggambarkan kehidupan sebenarnya. Klip Lopez mengenang zaman remajanya tular di TikTok, di mana pengguna menuduhnya menipu dalam menggambarkan masa lalunya. Kesan daripada kontroversi ini dapat dilihat apabila jualan tiket jelajah This Is Me… Now Lopez menjunam, menyebabkan pembatalannya.
KESILAPAN PEMASARAN BLAKE LIVELY: IT ENDS WITH US
Filem adaptasi Blake Lively dari novel Colleen Hoover, It Ends With Us, mendapat kritikan hebat kerana cara ia menangani tema penderaan domestik. Pengkritik menuduh filem itu menggambarkan hubungan toksik secara romantik, sementara usaha pelakon tersebut dalam mempromosi filem turut dilihat hanya memburukkan keadaan. Semasa jelajah promosi, Blake lebih banyak memberi tumpuan kepada produk penjagaan rambutnya dan fesyen bertema bunga, yang dianggap tidak sensitif terhadap tema serius filem itu. Walaupun Blake cuba mengalihkan fokus kembali kepada mesej filem tersebut, kerosakan bagaimanapun dianggap telah berlaku. Kontroversi ini menjadi contoh bagaimana tema sensitif tidak seharusnya diangkat tanpa panduan bersesuaian.