SEREMBAN: Sebanyak 4,320 unit alat tulis diserahkan kepada pelajar-pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Negeri Sembilan menerusi pelaksanaan program Jelajah Waghih Kit SPM.
Program tersebut anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (Permanis) Kebangsaan bertujuan memperkukuh hubungan antara persatuan berkenaan dengan sekolah-sekolah di negeri ini.
Presiden Permanis Kebangsaan, Muhammad Izzulislam Rosman berkata, menerusi program berkenaan, Permanis di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) diberi tanggungjawab untuk menyantuni sebuah sekolah menengah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kami tidak hanya memberikan bantuan berkenaan tetapi turut mendedahkan pelajar kepada maklumat penting untuk melanjutkan pengajian ke IPT dan pelbagai jenis bantuan ditawarkan oleh kerajaan Negeri Sembilan yang diuruskan oleh Yayasan Negeri Sembilan (YNS),” katanya.
Muhammad Izzulislam ditemui pada Program Jelajah Waghih Kit SPM di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chan Wan di sini yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai.
Pada majlis itu, seramai 313 calon SPM menerima bantuan alat tulis berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Izzulislam berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan susulan pengumuman kenaikan inisiatif Bantuan Sara Hidup iaitu daripada RM150 kepada RM200 sebulan kepada mahasiswa anak Negeri Sembilan yang memerlukan.
“Pengumuman ini merupakan satu daripada banyak inisiatif positif yang telah dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2025 baru-baru ini yang memberi fokus kepada kebajikan pelajar dan pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan, bermula tahun hadapan, Bantuan Sara Hidup untuk mahasiswa anak negeri ini akan dinaikkan kepada RM2,400 setahun.
Turut diumumkan, tambahan sebanyak RM500 dalam Bantuan Khas Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada mahasiswa anak negeri ini bagi kategori ijazah pengkhususan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). – UTUSAN