KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan 40 sindiket penipuan dengan penahanan seramai 426 individu dipercayai terlibat dengan jenayah terbabit dalam 63 serbuan di pusat panggilan di seluruh negara baru-baru ini.
Serbuan Op Khas 83/2024 yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berlangsung selama 12 hari bermula 25 November hingga 6 Disember lalu
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 426 individu ditahan membabitkan 331 lelaki dan 95 wanita berusia antara 16 hingga 55 tahun.
“Daripada jumlah itu, seramai 146 adalah warga Malaysia manakala bakinya adalah warga asing iaitu 21 warga Thailand, China (224 orang), Indonesia (18) Nigeria (5), Pakistan (3) Zimbabwe dan Ukraine masing-masing dua orang manakala Kenya, Tajikistan, Taiwan, Guinea dan Syria membabitkan seorang.
“Hasil siasatan mendedahkan, kesemua individu yang ditahan ini adalah daripada 40 kumpulan sindiket yang menjalankan aktiviti penipuan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, kumpulan tersebut membabitkan 12 sindiket judi dalam online, sembilan sindiket pelaburan tidak wujud dan tipu pelaburan kerja, sindiket e-dagang (5), sindiket berkaitan Love Scam (3) manakala penipuan derma dan promosi video lucah masing-masing satu.
“Siasatan turut mendedahkan, pusat panggilan ini tidak hanya menyasarkan mangsa dari Malaysia malahan dari seluruh pelusuk dunia termasuklah Amerika Syarikat (USA), China, Jepun, India, Hong Kong, Taiwan, Trinidad dan Tobago, Indonesia, Thailand, dan Vietnam.
“Individu yang ditahan mempunyai peranan yang berbeza termasuk sebagai pengurus, penyelia, pegawai khidmat pelanggan, pegawai pengiklanan, pegawai kewangan dan pengaturcara komputer,” katanya.
Ramli berkata, pihak polis turut merampas sebanyak 1,240 telefon bimbit; 187 set komputer; 302 komputer riba; 41 router; 44 modem; 52 monitor, 41 kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM); 21 kad akses; 185 keping simkad; dua utas gelang tangan, enam buah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM79,451.
“Turut dirampas, sembilan unit cop, dua keping sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah yang dijalankan Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1.48 juta,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati sebanyak 35 premis kediaman membabitkan rumah teres, kondominium dan apartment dijadikan markas kepada kegiatan pusat panggilan ini.
Justeru, beliau mengingatkan kepada semua pemilik premis kediaman yang menyewakan premis mereka agar mengambil tahu siapa dan apakah aktiviti yang dilakukan oleh penyewa.
“Tindakan membenarkan aktiviti jenayah ini beroperasi di kediaman milik anda boleh dianggap sebagai bersekongkol dan pihak polis tidak menolak kemungkinan untuk mengheret anda ke mahkamah.
“Siasatan setakat ini telah berjaya memperoleh pertuduhan terhadap 261 individu yang ditahan manakala baki yang lain sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1)(C), 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.
Menurut Ramli, operasi ini juga merupakan amaran kepada sindiket-sindiket jenayah yang cuba mewujudkan pusat panggilan di Malaysia.
“Ingat! PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada sindiket sebegini selain sentiasa memberikan komitmen dalam membanteras jenayah ini melalui operasi dan serbuan secara berterusan bagi memastikan negara ini bersih dari pusat-pusat panggilan penipuan seumpama ini,” katanya. – UTUSAN