ALOR SETAR: Sebanyak 353 premis Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara mengalami kerosakan melibatkan kerugian bernilai RM6 juta berikutan banjir yang melanda beberapa negeri sejak penghujung November lalu.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hanafiah Man berkata, premis terjejas merangkumi 339 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska), 11 premis pendidikan kemahiran serta tiga pusat kegiatan masyarakat (PKM).
Tambahnya, kesemua 353 premis itu terletak di lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor dan Sarawak.
“Perkara ini telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk dibawa kepada Kementerian Kewangan. Secara prinsip kita sudah menerima peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih tabika serta taska terlibat.
“Peruntukan itu akan mula disalur minggu depan bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan segera. Lebih 93 peratus tabika dan taska sudah boleh diselesaikan kerja baik pulih dalam masa terdekat namun ada juga premis rosak teruk terutamanya di Kelantan.
“Di beberapa premis, kita sedang laksanakan proses untuk tentukan tahap keselamatan bangunan. Perkara itu akan jadi keutamaan dalam memastikan keselamatan murid, guru serta petugas terlibat,” katanya ketika melawat Tabika Kemas Alor Gunung di sini, hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan tabika dan taska terjejas terletak di Kelantan iaitu sebanyak 212 premis diikuti Terengganu 96 premis dan Kedah 19 premis yang sekali gus menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) 7,673 murid terjejas.
Sementara itu Hanafiah berkata, pihaknya bersama KKDW sedang berusaha agar program pra tahfiz yang dilaksanakan di Tabika Kemas ketika ini dapay diteruskan kepada murid meskipun mereka sudah ke sekolah rendah.
Katanya, antara langkah yang difikirkan termasuklah membenarkan kanak-kanak itu dihantar ke Tabika Kemas pada waktu petang bagi menyambung kelas-kelas tahfiz yang telah mereka ikuti sewaktu belajar di situ.
“Setakat ini perkembangannya sangat menggalakkan, anak-anak yang mengikuti program itu menunjukkan pencapaian memberangsangkan menghafal al-Quran. Kami juga mahu berbincang dengan Kementerian Pendidikan yang mungkin boleh benarkan penggunaan kelas pada sebelah petang untuk program itu,” katanya. – UTUSAN