SONGKHLA, THAILAND: Dianggarkan seramai 3,500 pasangan dari Malaysia bernikah di Pejabat Agama Islam Songkhla tahun ini, angka yang disifatkan semakin meningkat.
Seorang ejen dari Malaysia yang menguruskan perjalanan dan pernikahan rakyat Malaysia yang enggan dikenali berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kira-kira 20 pasangan dari Malaysia yang bernikah setiap hari hanya di daerah Songkla.
Menurutnya, Pejabat Agama Islam Songkhla menetapkan majlis pernikahan adalah pada Isnin hingga Jumaat.
Katanya, jumlah itu tidak termasuk pasangan yang bernikah di pejabat agama di wilayah-wilayah selatan yang lain seperti Narathiwat dan Satun iaitu antara destinasi pilihan pasangan Malaysia kerana lokasinya yang dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand.
“Ramai yang bernikah di sini bagi tujuan berpoligami. Ia bukanlah sesuatu yang baharu namun saya dapati jumlahnya semakin meningkat disebabkan beberapa faktor terutama prosedur perkahwinan di sini yang lebih mudah.
“Berbanding Malaysia, undang-undang perkahwinan untuk poligami lebih ketat kerana memerlukan kebenaran mahkamah syariah.
“Di Malaysia, proses untuk berkahwin kali kedua memerlukan kebenaran rasmi dan alasan yang kukuh, termasuk kebolehan suami dari segi kewangan serta keadilan terhadap isteri sedia ada,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, bernikah di Thailand menjadi pilihan kerana kos pernikahan lebih rendah termasuk bayaran untuk majlis akad nikah, malah lebih fleksibel tanpa memerlukan banyak dokumen atau pemeriksaan mendalam seperti di Malaysia.
Katanya, kebanyakan pasangan yang memilih bernikah di Thailand untuk mengelakkan konflik atau bantahan daripada isteri pertama.
“Walaupun perkahwinan di Thailand ini sah mengikut hukum syarak, masalah timbul apabila pasangan tidak mendaftarkan semula pernikahan mereka di Malaysia.
“Ini kerana mengikut undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, mana-mana perkahwinan yang berlangsung di luar negara wajib didaftarkan semula bagi membolehkan ia diiktiraf oleh pihak berkuasa.
“Kegagalan mendaftarkan perkahwinan ini boleh menyebabkan perkahwinan tersebut dianggap tidak sah dari sudut undang-undang Malaysia,” katanya.
Menurutnya, pasangan yang tidak mendaftarkan pernikahan mereka boleh berdepan pelbagai masalah undang-undang terutama dalam menuntut hak nafkah atau harta bagi pihak isteri kedua sekiranya berlaku perceraian atau kematian suami.
“Anak-anak hasil perkahwinan di Thailand juga mungkin menghadapi kesukaran dalam mendapatkan sijil kelahiran yang sah, sekali gus menjejaskan status kewarganegaraan mereka di Malaysia.
“Selain itu, suami yang tidak mendaftarkan perkahwinan di Malaysia boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, termasuk denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan.
“Perkahwinan yang tidak direstui atau diketahui oleh isteri pertama sering menimbulkan perbalahan rumah tangga, yang akhirnya boleh membawa kepada perceraian atau keretakan keluarga,” katanya.
Jelasnya, walaupun perkahwinan di Thailand memberi kemudahan kepada pasangan yang ingin berpoligami, ia bukanlah jalan penyelesaian yang sempurna.
“Kepentingan mendaftarkan perkahwinan di Malaysia tidak boleh diabaikan kerana ia melibatkan hak-hak yang dilindungi undang-undang.
“Kerajaan Malaysia sering mengingatkan rakyatnya bahawa perkahwinan di luar negara mesti sah di sisi hukum syarak dan diiktiraf secara rasmi oleh negara.
“Kesimpulannya, walaupun pejabat agama di Selatan Thailand menjadi pilihan popular untuk bernikah, pasangan yang terlibat perlu sedar akan implikasi undang-undang sekiranya mereka gagal mendaftarkan pernikahan tersebut di Malaysia,” katanya. – UTUSAN