BERUAS: Seramai 35 penduduk di Kampung Kilang, Pantai Remis, dekat sini terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air awal pagi tadi.
Kejadian berlaku akibat hujan lebat semalam menyebabkan rumah penduduk dinaiki air pada paras antara 0.3 hingga 0.5 meter.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, memberitahu semua mangsa dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas, bermula kira-kira pukul 1.15 pagi.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.15 tengah malam dan sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dan BBP Trong bergerak ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer (KM),” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi diketuai Ketua BBP Pantai Remis, Mohd. Akmal Hussin itu, membawa dua jentera pemadam api ‘FRT’, sebuah pikap dan sebuah bot aluminium, bagi menyelamatkan mangsa.
Katanya, operasi tamat pada pukul 7.48 pagi dan hujan juga telah berhenti, namun operasi pemantauan masih diteruskan dari masa ke semasa.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya menyelamatkan empat individu yang terperangkap dalam kejadian air deras ketika melakukan aktiviti memancing di bawah Jambatan Raja Permaisuri Bainun Sitiawan, pada awal pagi tadi.
Menurut beliau, pasukan itu menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.13 pagi dalam kejadian yang berlaku di Sungai Manjung itu.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati terdapat dua lelaki dan dua perempuan di situ dan paras air setinggi paras lutut dengan keadaan air semakin naik dan deras.
“Ketua operasi, Muhamad Arif Irfan Mokhtar mengarahkan anggota untuk menurunkan bot dari jeti yang berdekatan dan membuat penyelamatan terhadap mangsa sebelum mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. – UTUSAN