30,724 kes jenayah komersial, rekod kerugian RM2.77 bilion

30,724 kes jenayah komersial, rekod kerugian RM2.77 bilion

RAMLI Mohamed Yoosuf
RAMLI Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 30,724 kes jenayah komersial dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini dengan kerugian RM2.77 bilion sepanjang tahun ini hingga 15 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, secara purata, sebanyak 88 kes jenayah komersial dengan kerugian RM7.92 juta dilaporkan berlaku setiap hari.

“Secara perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini, ia menurun tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 31,588 kes.

“Bagaimanapun, nilai kerugian meningkat secara ketara sehingga 44 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM1.92 bilion,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Ramli, sebanyak 13,721 kertas siasatan berjaya dituduh bagi tahun ini berbanding 13,450 kes, pada tahun lalu.

Jelasnya, penurunan kes jenayah komersil merupakan petanda positif kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah komersial.

“Justeru, PDRM akan terus melipat gandakan usaha bagi memastikan pencegahan jenayah komersial dapat dilaksanakan agar impak lebih optimum dapat dicapai.

“PDRM juga menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dan mengambil bahagian dalam menyebarkan mesej-mesej pencegahan jenayah komersial,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ramli, cabaran utama dihadapi pihaknya dalam menangani jenayah komersial adalah kewujudan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan JSJK untuk beradaptasi dengan lebih pantas dan berinovasi dalam menggunakan teknologi moden.

Beliau berkata, tidak dinafikan sudah berlaku beberapa kes jenayah penipuan yang menggunakan teknologi AI, bagaimanapun, jumlahnya masih kecil dan hanya melibatkan kes-kes terpencil.

“Setakat ini, juga tiada laporan diterima berkenaan kes-kes penyamaran selaku kenalan atau ahli keluarga bagi meminta bantuan menggunakan teknologi deepfake.

“Penggunaan teknologi deepfake dilihat lebih tertumpu kepada iklan-iklan pelaburan yang disasarkan secara rambang kepada orang awam, bagaimanapun penggunaannya masih belum meluas,” katanya.

Ramli berkata, bagi menangani cabaran ini, JSJK perlu mengambil beberapa langkah proaktif dan adaptif dengan memanfaatkan AI dan pembelajaran mesin (machine learning) untuk mengenal pasti corak dan trend dalam data yang besar.

Ini seperti transaksi kewangan yang mencurigakan, yang mungkin tidak mudah dikesan oleh kaedah tradisional, selain menggunakan teknologi forensik digital untuk menjejaki aktiviti siber seperti penipuan dalam talian, pengubahan wang haram melalui mata wang kripto, dan serangan siber yang melibatkan data sensitif. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya