PEMINAT bersorak gembira selepas kumpulan bertaraf legenda, KRU, mengumumkan kepulangan mereka ke dunia muzik tanah air menerusi pelbagai perancangan yang sedang diatur.
Keputusan itu diambil Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim selepas mengumumkan pembubaran sekitar tahun 2018.
Jauh dalam sudut hati trio adik beradik ini, perjuangan perlu diteruskan meskipun terpaksa ambil tempoh berehat. Yang menjadi pembakar semangat adalah peminat selain keinginan untuk terus berkarya yang masih menebal dalam diri setiap anggota KRU.
“Sebenarnya, pembubaran pada 2018 bukan perancangan kami. Sebaliknya, konsert yang kami adakan tahun itu asalnya kami raikan selepas perjalanan 25 tahun kumpulan ini.
“Kemudian, kami sepakat. Benarlah, ketika itu, apa lagi yang mahu kami capai? Konsert jelajah, menang anugerah, bikin filem, semua sudah kami laksanakan.
“Tambah lagi waktu itu Edry putuskan mahu berhijrah ke Manchester, United Kingdom. Jadi tiada apa lagi yang mahu kami kejarkan masa itu,” kongsi Norman.
Yusry tidak menafikan, KRU, sebelum dibubarkan pada tahun tersebut, menemui jalan buntu dan gagal melihat sebarang keperluan untuk meneruskan perjuangan.
“Puas kami fikirkan, apa lagi yang ingin kami buat? Kalau mahu teruskan, kena ada sesuatu yang mendorong untuk kami berbuat demikian.
“Tapi, sekarang kami rujuk semula. Keputusan ini tidak dibuat atas paksaan, sebaliknya sebab kami benar-benar mahu lakukannya,” kongsinya.
Kata Edry, peminat adalah asbab kekuatan dan pendorong kepada kepulangan KRU ke dunia seni tanah air, selain kemahuan untuk terus menghasilkan sesuatu mengikuti peredaran zaman.
“Di media sosial, peminat ramai bertanyakan lagu baharu KRU.
“Itu perkara yang kami rindukan, lebih-lebih lagi saya yang menetap di luar negara,” jelas Edry.
KASET
Demikian judul album KRU yang dijangka menemui peminat pada tahun hadapan.
Album yang memuatkan 10 lagu baharu itu bakal menampilkan karya-karya yang dikatakan mampu mengembalikan nostalgia 90-an buat peminat.
“Ia masih dalam proses pembikinan. Buat masa ini, empat lagu telah selesai dirakamkan. Namun kesemuanya sebenarnya sudah siap ditulis.
“Insya-Allah, album ini akan menemui peminat selepas Hari Raya Aidilfitri pada tahun hadapan,” kongsi Edry.
Turut mengulas, kata Norman, Kaset, bukan sekadar sebuah album, malah satu perjalanan dan penceritaan mengenai KRU sehingga ke titik terkini mereka.
“Album ini ada warna-warnanya. Bukan semua lagu kami sasarkan hasilkan muzik video atau diputarkan dalam radio.
“Ia satu perjalanan. Malah kami ambil kira reaksi peminat yang boleh menyumbang idea untuk penambahbaikan album ini,” jelasnya.
CIPTA MAGIS
“Gempak! KRU manfaatkan teknologi (AI) untuk hasilkan muzik video, tahniah!”
Itu reaksi satu daripada ribuan peminat yang meluaskan rasa kagum mereka terhadap lagu pertama mereka, Vodoo, termasuk video muzik terbaharu mereka.
Rata-rata peminat berpuas hati, dan teruja dengan pembaharuan yang KRU bawakan terhadap karya mereka.
“Sebenarnya, sebelum buat keputusan untuk kembali dengan album baharu, saya letak syarat supaya kami bertiga kena bersama sepanjang prosesnya.
“Video kami bertiga dalam bilik ibu kami, menyanyi itu adalah rakaman asal sepanjang pembikinan lagu dalam album ini.
“Saya mahu magis ketika kami hasilkan menerusi lagu-lagu terdahulu seperti Awas dan Fanatik, tercipta semula,” jelasnya Edry.
Mengulas mengenai konsert, Norman memaklumkan KRU memang merancang untuk satu persembahan bertaraf mega untuk peminat.
“Perkara itu akan kami umumkan pada sidang media akan datang.
“Ya, konsert adalah sebahagian perancangan dalam penghasilan album kaset.
“Kami mahu mengembalikan nostalgia 90-an kepada peminat yang mengikuti karier muzik kami sejak awal,” kongsinya.-UTUSAN