200 anggota KPDN Perak pantau harga barang sepanjang Krismas - Utusan Malaysia

200 anggota KPDN Perak pantau harga barang sepanjang Krismas

MOHAMAD Kamarol Mat Nor (kanan) memeriksa tanda harga pada barangan yang dijual semasa walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 di Pasaraya Besar Mydin Meru Raya, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menggerakkan seramai 197 penguatkuasa dan 74 pegawai pemantau harga bagi sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024.

Timbalan Pengarah KPDN Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, pemeriksaan dan pemantauan akan dilaksanakan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.

“Permintaan ke atas barangan tertentu dijangka meningkat menjelang perayaan ini. Pemantauan adalah sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan dalam pasaran sebelum, semasa dan selepas perayaan,” katanya selepas lawatan SHMMP di pasar raya Mydin Meru Mara di sini hari ini.

Sembilan jenis barangan ditetapkan harga maksimum semasa pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 di negeri Perak termasuk daging kambing biri-biri import bertulang yang ditetapkan RM24 sekilogram pada harga borong dan RM28 sekilogram harga runcit bermula 23 hingga 27 Disember ini.

Lapan lagi jenis barangan ialah kubis bulat import, tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import (China), cili merah, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan lobak merah.

Kata Mohamad Kamarol, penentuan jenis barangan tersebut adalah berbeza mengikut perayaan yang disambut.

“Sebelum ditetapkan harga, perbincangan turut dibuat dengan pelbagai pihak. Ia adalah situasi menang-menang yang mana boleh diterima oleh pemborong dan peruncit,” katanya.

Jelasnya, tindakan akan diambil jika peniaga menjual pada harga melebihi harga maksimum, tiada tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal serta tiada tanda harga, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Tambahnya, sebanyak 13 tindakan kes dihasilkan sepanjang SHMMP tahun ini di negeri Perak, iaitu tujuh kes semasa Hari Raya Aidilfitri, lima kes sewaktu Tahun Baharu Cina dan satu kes semasa Deepavali. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya