ALOR GAJAH: Nelayan di Melaka yang sukar memperoleh lesen daripada Jabatan Perikanan kini boleh menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan mengemukakan permohonan mulai tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebanyak 20 peratus lesen baharu akan diberikan kepada nelayan yang telah lama memohon.
Menurutnya, sejak Jabatan Perikanan melaksanakan program pemutihan kepada 1,127 nelayan berlesen di negeri ini sejak awal tahun ini, banyak lesen terpaksa dibatalkan kerana tidak berstatus tegar.
“Kerajaan negeri tidak boleh bertolak ansur dengan golongan nelayan yang mempunyai lesen tetapi diberikan kepada orang lain, termasuk yang mengambil kesempatan membeli minyak subsidi dan sebagainya.
“Kalau mereka ini dapat lesen tetapi tidak turun ke laut dan tidak pernah buat kerja nelayan tetapi ambil subsidi nelayan, bantuan sara hidup dan bantuan-bantuan lain ini adalah satu perkara yang tidak patut berlaku.
“Alhamdulillah dalam tempoh beberapa bulan ini saya telah mengarahkan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membuat pemutihan dan ia telah dapat dilaksanakan hingga memberi ruang kepada nelayan lain memohon lesen baharu selepas ini,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Penyampaian Bayaran Sagu Hati Ex-Gratia kepada nelayan yang terjejas akibat cadangan pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) Fasa 2 di Tanjung Bidara di sini, hari ini.
Tambah Muhamad Akmal, ramai nelayan tegar di sepanjang Sungai Rambai hingga ke Kuala Linggi mencari rezeki di laut tetapi tidak memiliki lesen disebabkan kuota yang penuh.
Jelasnya, permohonan baharu hanya dibenarkan jika terdapat kekosongan akibat kematian atau pemulangan lesen.
“Namun bila kita buat pemutihan ke atas semua nelayan berlesen dan mendapati 20 peratus daripadanya terpaksa dibatalkan status kelayakan sebagai nelayan tegar. Sebagai contoh di Kuala Linggi ada 48 lesen boleh dipohon,” ujarnya. – UTUSAN