KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik dan bukan untuk membongkar kebenaran.
Ini kerana, walaupun terdapat keterangan lain yang menunjukkan berlakunya salah laku namun hanya dirinya yang dihadapkan ke mahkamah.
“Walaupun keterangan bersumpah Tim Leissner menyebut mengenai pembabitan suami Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara ketika itu) iaitu (Datuk) Tawfiq Aiman menerima rasuah untuk memudahkan pemindahan semalaman (overnight) AS$1 bilion, Tan Sri Zeti mahupun suaminya tidak dipertanggungjawabkan.
“Keterangan Leissner mempersoalkan bukan sahaja tindakan individu tertentu tetapi juga integriti keseluruhan sistem perbankan kita namun dakwaan serius ini masih belum ditangani dengan jelas.
“Ini jelas menunjukkan bahawa siasatan yang diketuai pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin dan rakan-rakannya di SPRM tidak tertumpu kepada memerangi rasuah tetapi sebaliknya didorong oleh agenda politik sesetengah ahli politik yang bertujuan semata-mata untuk mengaitkan saya,” kata Najib.
Media sebelum ini melaporkan Leissner memberitahu Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pemindahan pertukaran asing sebanyak AS$1 bilion semalaman daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI) selepas Tawfiq didakwa disogok untuk membolehkan perkara itu berlaku (‘make it happen’).
Leissner memberi keterangan itu ketika menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya yang didakwa menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.
Selain itu, Najib memberitahu melalui perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB itu, beliau mendapat tahu bahawa Jho Low mengarahkan sebuah firma guaman, Shearman & Sterling untuk memindahkan AS$6,250,000.00 pada 17 Disember 2009 dan AS$732,234 pada 21 Mei 2010 ke akaun syarikat, Iron Rapsody dimiliki Tawfiq.
“Menurut keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan ini, Jho Low mengarahkan Asset Central Holding, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Jho Low untuk menghantar AS$1,250,000 pada 18 Disember 2009 kepada Iron Rhapsody.
“Saya sangat terkejut dengan pendakwaan terpilih ini walaupun terdapat fakta menyatakan bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mendapati transaksi Tan Sri Zeti ini sangat membimbangkan sehingga mereka memaklumkan Bank Negara, bank pusat Malaysia, sendiri.
“Tetapi api telah dipadamkan dengan cepat oleh mereka yang berkepentingan di Bank Negara Malaysia. Laporan oleh MAS adalah seperti “melaporkan bilangan biri-biri kepada serigala”,” ujar Najib.
Najib berkata demikian ketika menyambung membaca penyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari kedua beliau membela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok.-UTUSAN