Seramai 150 pelajar sekolah rendah dan menengah Negeri Pahang berjaya menamatkan kursus Perantisan Gendang Tradisional Melayu Pahang di beberapa lokasi berasingan sejak tiga tahun lepas.
Jurulatih Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ( JKKN) Pahang Muhamad Mohd Yunus berkata, program tersebut usaha murni bagi menghidup dan mengenengahkan gendang tradisional yang sinonim dengan mengiringi gerakan silat Pahang daripada pupus.
Katanya, kini ada pelapis orang muda bagi meneruskan seni gendang tradisional Melayu Pahang kepada masyarakat moden.
Tambah beliau, tahun ini seramai 77 orang menamatkan kursus gendang setelah memenuhi syarat wajib mengikuti kursus selama 24 jam yang diadakan dalam tempoh beberapa minggu di lokasi yang telah ditetapkan.
“Antaranya lokasi latihan ialah di Sekolah Kebangsaan ( LKTP) Jengka 12, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran dan Dewan Orang Ramai Imam Perang Teh Kampung Sanggang, Temerloh.
“Sebelum menerima sijil setiap peserta diuji memperdengarkan rentak gendang yang diajar iaitu tiga rentak popular iaitu rentak lagu sama deras, rentak kambing belaga dan rentak raja berangkat,” katanya kepada Utusan Pelajar selepas majlis penyampaian sijil perantisan Gendang Pahang di Dewan Imam Perang Teh Kampung Sanggang, Maran baru-baru ini. Sijil penyertaan disampaikan Pengarah JKKN Pahang, Nurwati @ Rahimah Abdul Wahab.
Beliau berkata, turut menyertai kursus gendang ini termasuklah guru, pekerja sekolah dan pengamal persilatan Melayu Pahang bagi mendalami kemahiran yang sedia ada. –UTUSAN