DUNGUN: Penduduk dan pengguna jalan raya di beberapa buah kampung di Hulu Dungun, di sini mahu pihak berkuasa menangani isu ternakan yang berkeliaran di jalan raya di kawasan tersebut sehingga mengundang risiko keselamatan mereka.
Tinjauan di beberapa buah kampung termasuk Kampung Tepus, Kampung Kuala Jengai, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Jongok Batu mendapati, sesetengah penternak hanya melepas dan membiarkan ternakan kerbau serta lembu mereka bebas meragut rumput di di situ.
Situasi itu turut mengganggu pengguna jalan raya apabila kumpulan haiwan berkenaan berkeliaran dan tidur di atas jalan raya hingga menyebabkan jalan raya dikotori najis.
Seorang penduduk Kampung Jongok Batu, Aisya Shahida Mohamad, 25, berkata, masalah ternakan yang dibiarkan bebas itu telah berlarutan sejak lebih 15 tahun di beberapa kampung di Hulu Dungun, namun sehingga kini belum ada jalan penyelesaian.
“Isu ini telah lama berlaku, bukan hanya kawasan kampung yang kotor, malah kehadiran haiwan ini turut menyebabkan berlaku kemalangan jalan raya sebelum ini.
“Kadangkala di pekarangan rumah dan premis kedai dipenuhi najis lembu. Keadaan ini urang menyenangkan dengan keadaan kotor dan berbau,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kuala Jengai, Che Ku Rahimi Che Ku Mat Salleh berkata, pengurusan kampung dan polis telah melakukan pelbagai usaha termasuk mengadakan pertemuan dengan penternak awal tahun lalu, namun situasi itu tetap berlaku.
“Kita adakan pertemuan dengan penternak supaya jaga haiwan mereka di dalam kandang. Mereka hanya berubah untuk beberapa bulan dan selepas itu kembali melepaskan haiwan.
“Kadangkala ada rumah penduduk yang tidak berpagar, haiwan ini mengganggu tong sampah penduduk. Kalau musim banjir dan hujan pula, lagi banyak haiwan yang berkeliaran di jalan raya sebab kawasan ragut basah dan ada yang dinaiki air,” katanya.
Bagi seorang penjawat awam, Aimuni Najiha Adnan, 32, dia yang berulang-alik dari Kampung Jerangau ke Kampung Pasir Raja sejak enam tahun lalu, pernah terlibat dalam kemalangan selepas seekor kerbau tiba-tiba melintas jalan menyebabkannya tidak sempat membrek kenderaannya.
“Kedegilan penternak menyusahkan ramai pihak termasuk pengguna jalan raya. Hulu Dungun ini banyak lokasi yang terkenal dengan kawasan pelancongan dan perkelahan seperti Air Terjun Chemerong dan Lubuk Kain di Kampung Shukor. Kalau tak jaga imej kampung, mungkin dari segi pelancongan juga terjejas,” katanya. – UTUSAN