KUANTAN: Seramai 139 mangsa banjir membabitkan 40 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Maran, dekat sini setakat pukul empat petang ini.
Enam PPS itu adalah PPS Ulu Luit, Pusat Pemindahan Tetap Luit, Surau Bukit Kuin, PPS Kampung Baru Sungai Chedong, PPS Bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak-Bak dan Balairaya Kampung Jara.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Maran berkata, kejadian hujan berterusan berkenaan menyebabkan kawasan rendah di sekitar daerah tersebut dinaiki air bermula pada pukul 8 malam semalam.
“PPS pertama dibuka pukul 10 malam iaitu PPS Ulu Luit yang menempatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga, diikuti Pusat Pemindahan Tetap Luit yang dibuka pukul 10.30 malam menempatkan 58 mangsa, 17 keluarga.
“PPS Surau Bukit Kuin dibuka pukul 11 malam menempatkan lima mangsa membabitkan sebuah keluarga dan PPS Kampung Baru Sungai Chedong pula menempatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga,” kata jurucakap itu di sini.
Kata jurucakap itu, PPS Bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak-Bak menempatkan empat mangsa membabitkan satu keluarga manakala Balairaya Kampung Jara (lima mangsa, dua keluarga). – UTUSAN