PETALING JAYA: Seramai 13 lelaki ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa dalam operasi khas di enam buah negeri pada 23 Disember lalu.
Sebanyak 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu dalam operasi bersepadu dijalankan oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi itu melibatkan seramai 107 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bahagian Bantuan Teknik (D6) dan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta SKMM.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihak polis menemukan pelbagai peranti dan peralatan komputer milik kesemua suspek.
“Kira-kira 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan pornografi dewasa turut ditemukan dalam komputer terbabit.
“Susulan itu, kita bertindak menahan 13 lelaki berusia antara 20 hingga 74 tahun bagi membantu siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Razarudin, pihak polis turut merampas sebanyak tujuh buah komputer, satu komputer riba dan 11 telefon bimbit.
“Turut dirampas, tujuh modem, sembilan router, satu cakera video digital (DVD) dan cakera keras.
“Kesemua suspek yang ditahan direman antara satu hingga empat hari bermula hari ini.
“Siasatan dilakukan di bawak Seksyen Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 Dan memiliki bahan lucah Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN