KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,245 kes penyakit berjangkit dikesan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini sepanjang musim tengkujuh kali ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, jangkitan saluran pernafasan mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 969 kes diikuti jangkitan kulit sebanyak 166 kes.
“Jangkitan demam pula ialah sebanyak 63 kes manakala keradangan perut dan usus pula sebanyak 47 kes. Selain itu ada beberapa kes lagi jangkitan keradangan mata namun kita lega kerana tiada sebarang jangkitan kes penyakit serius atau wabak dilaporkan berlaku setakat ini,” katanya selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kuala Nerus hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 53 pasukan perubatan digerakkan di PPS seluruh negeri sepanjang musim banjir kali ini. – UTUSAN