ALOR SETAR: Lebih 1,200 aksesori motosikal yang telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi bernilai lebih RM400,000 dilupuskan di Kedah setelah dirampas dalam beberapa siri operasi dijalankan polis sepanjang tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Supt. Abdel Nasser S. Salleh berkata, pelupusan itu dibuat dalam tiga fasa bermula Julai lalu.
Katanya, antara barangan yang dilupuskan adalah ekzos, ‘swing arm’, enjin, karburator, unit kawalan elektronik (ECU) serta tayar motosikal.
“Fasa pertama pelupusan barangan tersebut dilaksanakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 11 Julai lalu melibatkan 320 item.
“Pelupusan seterusnya dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Muda membabitkan 330 item pada 24 September, diikuti fasa ketiga pelupusan di IPK Kedah hari ini melibatkan 585 item.
“Kesemua barangan tersebut dilupuskan setelah mendapat arahan pelupusan dari mahkamah sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, kesemua barangan itu dirampas dalam beberapa operasi dilaksanakan antaranya Ops Khas Motosikal dan Ops Samseng Jalanan yang dijalankan sepanjang tahun.
“Pelupusan pada hari ini melibatkan 445 ekzos, 128 ‘swing arm’, empat carburetor, dua ECU dan enam lain-lain item setelah mendapat arahan dari Majistret di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah dengan kaedah pelupusan menggunakan jentera penggelek jalan.
“Sebenarnya masih banyak lagi barang dirampas yang tersimpan dan menanti arahan mahkamah untuk dilupuskan. Sepanjang tahun ini, kami telah membuat sitaan terhadap 6,168 barangan dengan yang terbanyak adalah ekzos iaitu sebanyak 3,286 unit dan ekzos sebanyak 2,178 unit,” katanya.
Katanya, pihak polis tidak berhasrat untuk menyusahkan mana-mana pihak apabila menyita kenderaan mereka yang menggunakan barangan tidak mengikut spesifikasi serta diubah suai.
“Kami hanya mahu memastikan keselamatan pemilik kenderaan itu serta pengguna jalan raya lain. Pemilik kenderaan boleh menuntut kembali motosikal yang disita dalam tempoh 24 jam dengan syarat mereka memasang semula aksesori asal.
“Pihak polis tidak berhasrat untuk menyita kenderaan terlalu lama kerana memahami kesukaran dihadapi pemilik motosikal yang mungkin perlu menggunakan kenderaan itu untuk urusan harian. Namun kami perlu memberi keutamaan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN