KUALA TERENGGANU: Seramai 12 pelajar lelaki di sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pukul secara bergilir-gilir terhadap seorang rakan mereka di kolej kediaman pelajar di IPTA itu, Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, semua pelajar yang berusia antara 20 tahun hingga 22 tahun itu ditahan di IPTA tersebut pada pukul 6 petang semalam.
Katanya, mangsa berusia 20 tahun yang juga pelajar di IPTA itu cedera dengan kesan lebam akibat dipukul dengan objek tumpul di bahagian lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, perut dan kaki kanan.
“Kejadian itu didakwa berlaku pada 15 Disember lalu dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi sebelum mangsa menghubungi keluarganya yang berada di Taman Sri Duyung, Melaka.
“Keluarga mangsa tiba di Kuala Terengganu pada 16 Disember dan membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bertindak atas laporan bapa mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu menjalankan siasatan dan menahan semua pelajar terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Wan Mohd. Zaki berkata, senjata yang digunakan turut dirampas di kolej kediaman pelajar di universiti tersebut untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – UTUSAN