KOTA BHARU: Seramai 111 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terkesan dengan banjir di seluruh negara menerima pelbagai bentuk barangan keperluan menerusi Sumbangan Ikhlas Skuad Ihsan Madani.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah itu, seramai 60 anggota adalah dari Kelantan termasuk dari Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Timur, di sini.
Katanya, selain itu seramai 21 anggota dari Kedah, Terengganu (19 orang ), Selangor dan Perlis (masing-masing empat orang), Pahang (dua orang) serta Sabah (seorang).
“Kita agihkan sumbangan ini mengikut keperluan, selain prihatin dengan nasib keluarga tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Timur, hari ini. – UTUSAN