KUANTAN: Sebanyak 107 daripada 217 projek pembangunan bekalan air negeri Pahang fasa satu siap dilaksanakan sehingga September lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, 33 projek lagi sedang dalam pembinaan manakala 77 projek di peringkat pra pembinaan.
Katanya, RM200 juta peruntukkan disediakan bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf paip lama kepada paip baharu di seluruh negeri ini.
“Peruntukan RM200 juta untuk menukar paip ini, jadi projek ini kita laksanakan sehingga 2026. Sehingga kini, 154 kilometer (km) paip usang sudah ditukarkan dan 186km sedang dalam pelaksanaan di seluruh Pahang,” katanya ketika menjawab pertanyaan Khaizulnizam Mohamad Zuldin (BN-Kemaayan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sudah membuat perancangan teliti bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini dengan menubuhkan pasukan petugas khas lawatan yang akan mengumpul maklumat permasalahan bekalan air dan merangka cadangan penyelesaian.
“Pasukan ini akan mengadakan lawatan ke seluruh daerah dan hasilnya, satu rangka kerja dibuat bagi menyelesaikan masalah ini. Inisiatif projek-projek bagi menyelesaikan masalah ‘blackspot’ di seluruh negeri ini sudah dirangkum dan peruntukan dana pembiayaan rentas agensi termasuk daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), peruntukan dalaman Paip, kerajaan negeri dan Pusat,” katanya. – UTUSAN