106 kumpulan petani gesa henti RUU Kualiti Benih Tanaman

106 kumpulan petani gesa henti RUU Kualiti Benih Tanaman

NURFITRI Amir (barisan hadapan, lima kanan) bersama wakil-wakil organisasi petani dalam sidang akhbar gesaan menghentikan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman di Petaling Jaya, hari ini. UTUSAN/NAZIM SYAZWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 106 organisasi petani dan kumpulan masyarakat sivil menyeru kerajaan menghentikan proses pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman di Parlimen.

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad berkata, gesaan ini dibuat kerana ketiadaan proses konsultasi yang telus dan menyeluruh dengan pihak berkepentingan seperti petani kecil dan organisasi berkaitan.

Katanya, Penyata Impak Peraturan (RIS) bagi RUU Kualiti Benih Tanaman telah dikeluarkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 22 Jun 2018.

“Namun, RIS didapati tidak memenuhi proses yang ditetapkan dan tiada langsung perundingan dengan petani dan orang ramai dibuat sebelum RIS dikeluarkan pada tahun 2018.

“FKMM telah berjumpa dengan Jabatan Pertanian pada 2019 dan 2024. Kami hadir atas desakan pertemuan dari pihak kami sendiri pada 2019 dan jemputan pihak ketiga pada 2024, tanpa sebarang usaha dari Jabatan Pertanian untuk menganjurkan sesi konsultasi,” katanya dalam sidang akhbar gesaan menghentikan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia melalui sesi soal jawab khas Parlimen pada 18 November 2024 menyatakan bahawa Jabatan Pertanian telah menjalankan satu siri taklimat dan telah melaksanakan Analisis Impak Peraturan dan mengedar benih akan diwajibkan memohon lesen.

Mengulas lanjut, Nurfitri berkata, pemberitahuan awam mengenai cadangan penggubalan Akta Benih Tanaman ini hanya diumumkan pada 16 September 2018.

Katanya, RIS yang tidak teratur ini menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti dokumen tersebut untuk menyokong pelaksanaan RUU ini.

“Petani amat bimbang mengenai keperluan pelesenan, ujian makmal untuk benih, dan denda yang berat kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan. Konsultasi pada tahun 2024 juga terlalu umum dan tidak memberikan maklumat terperinci mengenai kesan RUU ini kepada petani kecil.

“Amalan tradisi seperti menyimpan, berkongsi, dan menjual benih secara kecil-kecilan penting untuk agrobiodiversiti dan sara diri petani,” katanya.

Dalam pada itu, Perunding dan pelatih Diribumi Ecological Services, Izzeady Amir berkata, RUU ini berpotensi meningkatkan monopoli syarikat besar terhadap pengeluaran benih tanaman.

Katanya, kos pelesenan dan ujian makmal juga dijangka membebankan petani kecil, sekalipun ujian kini percuma di makmal kerajaan.

“Hukuman denda dan penjara yang dikenakan dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan Hak Petani di bawah undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan digesa mengadakan konsultasi yang telus dan menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan sebelum melaksanakan RUU ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya