KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nabila Razali selamat menimang cahaya mata lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu kota, kelmarin.
Khabar gembira itu dikongsikan wakil pengurusan Nabila Razali Entertainment, yang turut memaklumkan bayi dan penyanyi itu kini dalam keadaan yang baik.
Menurut Nabila, kelahiran putera kesayangannya itu adalah anugerah paling bermakna dalam hidupnya dan suami, Nik Iruwan.
“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya.
“Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan dan akhirnya, Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, penyanyi lagu Hanya Kamu itu sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan saya serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, Nabila setakat ini belum berkongsi wajah dan nama putera kesayangannya itu.
Terdahulu, Nabila dan Nik Iruwan melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu.-UTUSAN