SUNGAI PETANI: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berterima kasih kepada kerajaan atas kenaikan gaji pertama di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuatkuasa hari ini.
Presiden Cueapacs, Datuk Adnan Mat berkata, pelarasan gaji secara berfasa iaitu lapan peratus yang dilaksanakan pada bulan ini telah dinikmati anggota perkhidmatan dan pesara awam melalui bayaran pertama yang diterima.
“Kami mewakili anggota perkhidmatan awam dan pesara merakamkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peningkatan gaji dan pencen itu.
“Malah saranan Perdana Menteri agar anggota perkhidmatan awam terus memberi pulangan setimpal dengan kenaikan gaji ini dalam bentuk produktiviti dan juga integriti akan dilaksanakan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Adnan berkata, pihaknya juga akan menambah nilai perkhidmatan supaya sentiasa berada pada tahap maksimum sejajar dengan kenaikan gaji yang diterima itu.
Menerusi pelaksanaan SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim itu akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember ini, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.
Sementara itu, ketika diminta mengulas 3,000 penjawat awam yang diisytiharkan muflis kerana hutang, Adnan berkata, pihaknya berharap melalui kenaikan SSPA ini kakitangan awam tidak lagi terjerumus dalam kancah tidak sihat kerana boleh menjejas produktiviti akibat dibelenggu hutang berterusan.
“Cuepacs menasihatkan penjawat awam seramai 1.62 juta orang di negara ini supaya belanja berhemah dengan kenaikan gaji baharu ini dan tidak terjebak dengan hutang baharu atau bertindih. Katakan tidak kepada hutang peribadi melainkan untuk tujuan pembayaran perumahan kerana ia menjamin masa hadapan,” katanya. – UTUSAN