1.25 juta gagal lunas pinjaman, kos tertunggak cecah RM11.32 bilion

1.25 juta gagal lunas pinjaman, kos tertunggak cecah RM11.32 bilion

Majlis Peluncuran Kempen Lestari Pendidikan yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di Tabung Pendidikan, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.-UTUSAN/M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM11.32 bilion sehingga September lalu, melibatkan lebih 1.25 juta peminjam yang masih gagal melunaskan hutang mereka.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, situasi itu memerlukan perhatian serius semua pihak kerana ia boleh menjejaskan keupayaan PTPTN untuk terus menyediakan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

“Setiap pembayaran balik yang dibuat peminjam adalah pelaburan untuk masa depan pendidikan negara.

“Dana ini akan disalurkan kepada lebih 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya ketika berucap dalam majlis peluncuran Kempen LESTARI Pendidikan, di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan dana yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tersebut mencecah lebih RM3 bilion setahun, menjadikan bayaran balik pinjaman satu tanggungjawab sosial yang tidak boleh dipandang enteng.

Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan, sebanyak RM32.29 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), daripada RM71.3 bilion berada dalam kategori ‘sepatutnya dibayar balik’ oleh 2,716,110 peminjam sehingga 31 Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Norliza berkata, Kempen LESTARI Pendidikan yang dilancarkan PTPTN bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi yang inklusif dan kelestarian dana pendidikan.

“Kempen ini membawa mesej utama ‘Memperkasa Rakyat Melalui Pendidikan Tinggi dan Tanggungjawab Kewangan’. Ia adalah inisiatif strategik bagi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dan mampan untuk generasi masa depan,” jelasnya.

Antara elemen utama kempen tersebut termasuk program #PTPTNBolehBincang yang membolehkan peminjam berunding pelan pembayaran fleksibel, serta #PTPTNSediaBantu yang menyediakan pelbagai saluran mudah untuk pembayaran balik.

Kempen itu berteraskan empat elemen utama: Transformasi, Aspirasi, Realisasi, dan Inovasi. Antaranya, aplikasi seperti myPTPTN dan myWaqafPTPTN diperkenalkan bagi memudahkan urusan pembayaran balik dan pengurusan pinjaman yang lebih sistematik.

“Kami memahami cabaran kewangan yang dihadapi oleh sebahagian peminjam. Justeru, PTPTN komited untuk membantu mereka menyelesaikan hutang melalui pendekatan yang fleksibel dan empati,” katanya.

Norliza menegaskan, pendidikan tinggi adalah asas kepada pembangunan masyarakat progresif dan kelestarian dana pendidikan perlu dijaga dengan kerjasama semua pihak.

“Universiti, alumni, NGO, dan pemimpin masyarakat perlu menjadi rakan strategik dalam menyebarkan mesej positif ini. Hanya melalui tindakan kolektif, kita dapat memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus kukuh dan inklusif,” ujarnya.

Kempen LESTARI Pendidikan juga diselaraskan dengan aspirasi negara seperti konsep Malaysia MADANI dan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya