Zuriat? Sekarang pun sudah ada tiga orang anak – Sarah Suhairi - Utusan Malaysia

Zuriat? Sekarang pun sudah ada tiga orang anak – Sarah Suhairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHARU sahaja empat bulan mendirikan rumah tangga dengan suami, Aswad Anuar, penyanyi bertubuh genit, Sarah Suhairi, mengakui dia juga tidak terlepas daripada pertanyaan lazim berhubung soal zuriat.

Memahami bahawa pertanyaan-pertanyaan itu bukanlah bermaksud apa-apa, Sarah tahu bahawa niat orang bertanya kerana sifat prihatin dan mahu mengambil berat tentang dirinya.

Justeru, jauh sekali perasaan menjengkelkan atau kurang senang dengan perkara itu terbit di hatinya lantaran sedar tiada sebab untuk dirinya mengelak pertanyaan sedemikian.

Pun begitu, kalau menyebut mengenai perihal zuriat, kata penyanyi lagu Pedih dan Nyawa & Raga ini, dia tidak pernah meletakkan sebarang perancangan.

Ini kerana, sebagaimana ramai tahu, saat memilih Aswad sebagai suami, dia sedar lelaki yang bergelar seorang pensyarah itu juga merupakan seorang bapa kepada tiga orang anak, hasil perkahwinan terdahulunya dengan bekas isteri.

Maka, untuknya meletakkan tekanan segera memiliki anak sendiri, bagi Sarah, itu bukan ketentuannya. Sebaliknya, urusan itu diserahkan sepenuhnya kepada Yang Maha Esa.

“Tak pernah pasang perancangan untuk dapat anak segera pun sebab saya dan suami mahu enjoy dulu hidup berdua ini. Tengoklah setahun dua ini macam mana, kalau ada rezeki zuriat, mengapa tidak?

“Alhamdulillah, saya pun sekarang sudah ada tiga anak. Cuma, yang tiga orang anak saya itu menetap bersama ibu mereka. Kalau hujung minggu, biasanya mereka akan datang ke rumah dan bersama kami.

“Sebab itu bila ditanya adalah Sarah sedang dalam fasa nak berbulan madu lagi saya jawab tidak juga. Sebabnya, anak-anak tiri ada sahaja bersama kami terutama di hujung minggu,”katanya.

Ditanya mengenai momen baharu setakat ini bergelar seorang ibu ‘segera’, Sarah tidak menolak dia menyukai fasa baharu hidupnya kini.

“Ya Allah, saya seronok sangat sebabnya, anak-anak ini suka makan, maklum sahajalah budak-budak hendak membesar. Jadi kalau mereka ada di rumah, memang saya tak berhenti memasak dari pagi sampai ke malam.

“Saya okey sahaja sebab kita sama-sama menikmati juadah makan demi nak mengisi perut juga sekeluarga. Tetapi itulah, badan saya ini tak juga naik-naik. Kalau boleh tak naklah nampak kurus sangat,”katanya tertawa.

Kongsi anak kelahiran Rawang , Selangor ini lagi, selain tiga orang anak, kebanyakan masanya juga terisi dengan perihal menjaga enam ekor kucing kesayangannya.

“Banyak sahaja benda yang saya uruskan. Selain anak, saya juga ada enam ekor kucing yang perlu diuruskan. Saya pula tak ada pembantu, jadi sayalah yang kena jadi ‘bibik’ kepada kucing-kucing itu.

“Dulu buat seorang, kini suami pun tolong juga jaga kucing itu,”katanya.

Tambah Sarah lagi, selama ini, kebanyakan perkara dilakukannya seorang diri. Maka, sejak suami hadir di sisi, dia berasa lega dan senang hati kerana Aswad banyak membantunya dalam segala hal dan urusan peribadi.

“Sebelum berkahwin, saya ini tak pernah duduk di luar sendiri, memang duduk dengan keluarga. Memang kebanyakan waktu uruskan hal sendiri dan di rumah pula memang bergantung kepada ibu.

“Nak cari barang atau tak jumpa barang pun tanya ibu. Sekarang, bila dah berkahwin, saya baru faham kenapa kita suka tanya emak-emak kita kalau barang tak jumpa. Sebabnya, emak-emak kita ini kemas rumah.

“Sekarang, bila sudah berkahwin, suami pula tanya pada saya, barang dia di mana. Saya dah faham sekarang,”tawanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kerjaya seni, Sarah mengakui, kemungkinan tahun hadapan mahu tampil dengan sebuah mini album bagi mengubati kerinduan peminat-peminatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya