Zul Ariffin enggan dikenali sebagai pelakon komedi

Zul Ariffin enggan dikenali sebagai pelakon komedi – ‘Saya berlakon saja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejak ligat mempamerkan sisi komedi demi mempromosikan filem terbaharunya, Don Dukun, pelakon Zul Ariffin mengakui ada beberapa pihak sudah mula mengintainya untuk terlibat dalam program lawak.

Namun, pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin, 38, itu enggan terlalu komited terhadap satu genre memandangkan dirinya suka mencabar dirinya untuk melakukan pelbagai genre demi mengukuhkan lagi portfolio.

“Ada beberapa orang yang tawarkan saya buat program lawak tapi saya tolak. Saya terbuka untuk berlakon mana-mana genre.

“Semua saya boleh buat. Saya tak nak tumpu pada satu genre sahaja. Jadi, tak perlu gelar saya pelakon komedi.

“Saya tak perlu ingatkan orang banyak kali mengenai genre lakonan saya,filemografi saya tetap ada di situ. Tidak ada apa yang perlu dibuktikan. Saya hanya berkarya dengan betul,” katanya.

Zul berkata demikian ketika ditemui di majlis Malam Gala dan tayangan perdana filem Don Dukun, baru-baru ini.

Kata pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu, sisi berbezanya menjadi seorang pelawak itu juga memudahkannya untuk berkarya memandangkan tidak ramai yang tahu personaliti sebenarnya.

“Saya bukan jenis aktif di media sosial. Peribadi saya juga tidak diketahui ramai. Pada saya, itu bagus untuk karier lakonan saya. Semakin kurang orang kenal saya, lebih mudah untuk saya lakukan kerja saya.

“Itulah saya. Ada hari saya jadi macam Don Dukun, ada hari saya berperangai macam Sheriff.
Bila saya tengok saya seronok. Dua tahun tunggu cerita ini keluar, bila tengok lakonan saya, saya lega,” jelasnya.

Apabila sisi lawaknya diterima baik sehinggakan setiap ‘content’ yang diketengahkan di media sosial semakin menjadi-jadi, rata-rata warganet menganggap kelakuan pelakon itu sudah semakin ‘rosak’.

Terhibur dengan respons itu, Zul mengakui dia hanya berbuat demikian kerana mahu promosi filem Don Dukun itu berjaya seperti yang dirancang.

“Saya rasa semua itu kerana promosi sebab mereka buat itu untuk media sosial. Jadi saya nak santai sahaja. Kita promote filem bukan setiap bulan. Saya rasa di usia 38 tahun ini, saya ikut saja permintaan anak muda ini untuk ikut trend-trend di TikTok.

“Bila dapat komen kata saya rosak tu saya pun tergelak. Saya pun baru ada TikTok. Interaksi itu kuat di situ. Saya terbuka untuk buat apa saja demi mempromosikan filem ini.

“Tapi, saya tak mahu menari. Kalau duduk saja-saja tepi jalan memang tidaklah. Mungkin mereka juga ada perancangan daripada pasukan pemasaran,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN