KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Zainal Abidin, Jaclyn Victor dan Azlan Typewriter merupakan antara barisan artis yang bakal memeriahkan konsert korporat syarikat perbankan terkemuka, CIMB Bank, Kita Bagi Jadi pada 24 November ini.
Acara kemuncak sempena meraikan 100 tahun syarikan perbankan itu secara tidak langsung bakal menampilkan persembahan daripada 100 artis selama 100 minit di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mengangkat tema muzikal dengan penceritaan visual, konsert istimewa itu bakal dibawakan oleh Orkestra Filharmonik Muda Malaysia (MPYO) dengan pimpinan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose.
Antara artis yang terbabit termasuklah, Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini serta penampilan khas Datuk Azizulhasni Awang, Nadia Aqilah dan Tony Eusoff.
Menurut Ketua Pegawai Penjenamaan dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman, Konsert Kita Bagi Jadi bakal memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan setia sejak mula ditubuhkan pada 1924 sehingga kini.
“Sempena sambutan CIMB ke-100, kami bakal mempersembahkan 100 persembahan yang menjadi pengalaman bermakna buat penonton yang hadir. Tidak hanya persembahkan muzik, tapi sesi ramah mesra dengan artis dan pelbagai lagi.
“Kami juga mahu mempromosikan bakat pemain orkestra generasi muda. Dengan bimbingan Ahmad Muriz, kami bawakan anak muda dengan gabungan penyanyi legenda.
“Konsert ini bertepatan dengan slogan Kita Bagi Jadi di mana kami ketengahkan semangat berusaha mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Kita Bagi Jadi, di sini, semalam.
Konsert istimewa itu menyemai impak positif menerusi pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat
Dalam masa sama, gerakan sosial itu bermatlamat untuk memupuk positiviti dan meraikan semangat ketahanan yang dipamerkan dalam kalangan rakyat Malaysia. -UTUSAN