PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka melawat mangsa banjir di Kelantan, esok.
Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan melakukan lawatan ke Kelantan sebaik selesai Mesyuarat Kabinet.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menerusi Facebook selepas dihubungi Zahid Hamidi untuk mendapatkan maklumat berhubung perkembangan banjir di Kelantan.
Menurut beliau, Zahid Hamidi turut memaklumkan sekiranya Kelantan memerlukan sebarang bantuan untuk menguruskan banjir.
“Sewaktu misi bantuan, saya menerima panggilan telefon daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bertanya khabar terhadap situasi semasa banjir di Kelantan.
“Perbualan yang agak terhad kerana talian perkhidmatan yang kurang jelas di sekitar sempadan. Insya-Allah TPM sedia turun ke Kelantan nanti untuk misi bantuan.
“Terima kasih di atas kecaknaan semua pihak terhadap Kelantan,” katanya.
Sehingga pukul 5 petang, lebih 40,000 mangsa banjir membabitkan 13,663 keluarga yang ditempatkan di 197 PPS seluruh Kelantan. – UTUSAN