Yuka Kharisma pertimbangkan tindakan saman, tuntut bayaran puluhan ribu dan permohonan maaf Aisha Retno - Utusan Malaysia

Yuka Kharisma pertimbangkan tindakan saman, tuntut bayaran puluhan ribu dan permohonan maaf Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Yuka Kharisma dan Kharima Music akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi, Aisha Retno dan semua pihak yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan imej penyanyi itu dan syarikat tersebut.

Peguam Mewakili Yuka dan syarikat tersebut, Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof berkata, tindakan itu berkemungkinan diambil selepas semua bukti berjaya dikumpul dan pihak-pihak terlibat dikenal pasti.

“Kami akan pertimbangkan untuk teruskan saman terhadap Aisha dan pihak-pihak terlibat, termasuk netizen yang telah membuat kenyataan yang mencemar nama baik Yuka serta Kharisma Music International.

“Kenyataan Aisha di media sosial telah disambut netizen. Ada dalam kalangan mereka yang bercakap tentang boikot, tuduh anak guam saya ‘kawan makan kawan’ selain beberapa lagi yang turut menyerang Yuka secara peribadi.

“Oleh itu, buat masa ini, pihak kami sedang kumpul dan kenal pasti mereka yang terlibat,” katanya.

Tuan Muhammad Arief ditemui Utusan Malaysia dalam sidang media yang diadakan di ibu negara, semalam. Turut hadir adalah Yuka dan Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music, Ahmad Jeffni.

Aisha menerusi satu rakaman sebelum ini mengeluarkan kenyataan selepas pihak Kharisma Music mengumumkan pembatalan Aisha Retno Malam Sutera Live In Concert pada 9 November lepas atas faktor jualan tiket yang tidak memberangsangkan.

Aisha dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram itu mendakwa pihaknya tidak diberitahu berkenaan pembatalan konsert itu yang sepatutnya berlangsung pada 16 November lepas.

Pada masa yang sama, penyanyi lagu Sutera itu menyifatkan pembatalan tersebut sebagai penindasan dan tidak profesional sehingga mengakibatkan dia kehilangan beberapa tawaran persembahan.

Dakwa Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, dia dan pengurusannya sudah menghubungi penganjur, Kharisma Music International sejak beberapa bulan lepas untuk bertanya mengenai status konsert sulungnya itu namun mereka hanya mendiamkan diri.

Yuka dalam sidang media semalam menepis dakwaan tersebut dan menegaskan Aisha dan pihak Aisha Retno Entertainment (ARE) telah lebih awal dimaklumkan mengenai pembatalan konsert berkenaan.

“Beberapa perjumpaan diadakan pada September 2024, membabitkan pihak Kharisma Music dengan pihak Aisha Retno Entertainment (ARE) bagi membincangkan hala tuju konsert iu. Pihak ARE telah dimaklumkan mengenai tiket yang pada ketika itu hanya 98 yang terjual. Justeru Kharisma Music mencadangkan agar konsert itu ditangguh ata dibatalkan bagi mengelakkan kedua-dua pihak menanggung kerugian lebih besar disebabkan jualan tiket yang amat tidak memberangsangkan dan tidak mencapai sasaran.

“Susulan itu, kami telah berbincang dengan pihak ARE untuk menangguhkan Konsert berkenaan agar kedua pihak dapat merancang semula strategi pemasaran untuk konsert tersebut. Namun, tiada kata sepakat dicapai. Pihak ARE berkeras untuk meneruskan konsert itu. Susulan itu juga, ARE menerusi satu dokumen perjanjian bertarikh 21 September 2024 menetapkan pihaknya secara langsung mahu mengendalikan konsert berkenaan.

“Kami bagaimanapun tidak bersetuju dengan beberapa terma di dalam draf perjanjian itu yang mana merugikan pihak kami. Justeru Kharisma Music pada 24 September 2024 telah menyerahkan notis kepada ARE untuk memaklumkan keputusan kami untuk menangguhkan konsert
tersebut. ARE tidak bersetuju dengan penangguhan itu malah berkeras mahu meneruskan konsert itu walaupun tanpa penglibatan Kharisma Music.

“Permintaan pihak ARE untuk Kharisma Music melepaskan penganjuran konsert tersebut kepada mereka, dipersetujui dan surat bertarikh 4 Oktober 2024 telah diserahkan kepada wakil ARE untuk membenarkan pihak mereka meneruskan konsert tersebut tanpa Kharisma Music.

“Pihak ARE juga diminta melaksanakan terma-terma yang dinyatakan dalam surat pelepasan tersebut pada atau sebelum 14 Oktober 2024. Namun, melalui surat bertarikh 12 Oktober 2024, ARE menyatakan mereka tidak bersetuju dengan terma-terma yang ditetapkan Kharisma Music. Justeru, pihak Kharisma Music mengambil keputusan untuk membatalkan konsert itu dan telah mengeluarkan notis (pembatalan) menerusi Instagram rasmi pada 9 November 2024 selain memulangkan duit pembeli tiket,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Yuka memaklumkan pihaknya juga menuntut Aisha melunaskan baki sebanyak RM77,000 yang dipinjam penyanyi itu ketika bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) awal tahun ini.

Katanya, jumlah itu adalah baki daripada jumlah sebenar iaitu RM83,000 yang dipinjamkan kepada penyanyi berkenaan.

“Setakat ini dia sudah melunaskan RM6,000. Jadi, masih berbaki RM77,000 untuk dia lunaskan kepada kami,” katanya.

Diminta mengulas lebih lanjut mengenai penajaan dan dana yang diberikan untuk persembahan Aisha di AJL38 itu, Yuka berkata, pihaknya hanya memberi tajaan khidmat selaku pengarah persembahan manakala dana yang diberikan itu adalah pendahuluan yang perlu Aisha bayar semula.

“Itu perjanjian dan dipersetujui bersama, bahawa dana itu adalah sebagai pendahuluan. Namun, khidmat kami selaku pengarah persembahan di AJL38, memang kami taja.

“Jadi, yang kami taja adalah khidmat kami sebagai pengarah persembahan, bukan dana. Dana itu adalah pendahuluan dalam bentuk pinjaman,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN