KUALA LUMPUR: Pelakon Korea, Yeo Jin Goo bakal serikan ONE Astro Fan Fest yang akan berlangsung di Sunway Pyramid Orange Concourse, 23 November depan.
Festival anjuran KC Global Media dengan kerjasama Astro itu menjanjikan hiburan Korea terunggul dan aktiviti menyeronokkan dibarisi bintang ternama buat rakyat Malaysia selama tiga hari berturut-turut bermula 22 November sehingga 24 November.
Selain berpeluang untuk bertemu dengan barisan artis tanah air dan bintang Korea itu secara eksklusif, peminat berpeluang menyertai banyak aktiviti menyeronokkan di booth tersedia, termasuk aktiviti bertemakan siri popular, Running Man.
Orang ramai juga berpeluang untuk bertemu dengan barisan pelakon drama bersiri Astro seperti Project; Exit, Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku, Berbahagi Suami, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi dan filem yang bakal ditayangkan Kahar: Kapla High Council.
Antara barisan artis yang bakal muncul di acara eksklusif itu adalah Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Naim Daniel, Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Fazziq Muqris, Alvin Chong, Siti Khadijah, Amad Baharin, Siti Elizad, Sharifah Husna, Evertts Gomes, Arabella Ellen dan ramai lagi.
Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, anjuran festival ini secara tidak langsung mengeratkan lagi kerjasama di antara KC Global dalam menyatukan peminat dengan selebriti kesayangan mereka.
“ONE Astro Fan Fest benar-benar yang pertama seumpamanya, di mana kami menghimpunkan peminat K-drama bersama bakat-bakat terkemuka dan hiburan berkualiti tinggi Malaysia.
“Kami teruja dapat menyediakan pengalaman sebegini selama tiga hari kepada peminat dan pelanggan kami di mana mereka berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan barisan pelakon dari rancangan terkenal Astro dan bintang drama Korea, Yeo Jin Goo.
“Dengan persembahan dan aktiviti berterusan selama tiga hari, peminat dapat memperluaskan pengalaman mereka melangkaui rancangan kegemaran mereka. Ini mengeratkan lagi kerjasama kami dengan KC Global Media yang menggabungkan bintang drama Korea terkenal dengan bakat terkemuka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih menarik lagi, mereka juga berpeluang untuk menguji pengetahuan dunia hiburan Korea, K-knowledge dalam pelbagai aktiviti termasuklah Pictionary K-Edition, Guess the K-Drama dan K-Drama Super Fan untuk berpeluang memenangi hadiah menarik.
Dalam pada itu, festival itu juga bakal diserikan dengan persembahan secara langsung oleh peserta Gegar Vaganza 2024.
ONE dan Astro Rewards teruja untuk menawarkan peluang kepada 50 pelanggan bertuah untuk memenangi sesi foto eksklusif bersama Yeo Jin Goo. Untuk menyertai peraduan ini, muat turun aplikasi My Astro dan sertai sebelum 20 November 2024.-UTUSAN