KUALA TERENGGANU: Yayasan Petronas (YP) hari ini menyampaikan 1,000 pek sumbangan untuk mangsa banjir di Terengganu melalui Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan mangsa banjir dan menceriakan mereka dengan keprihatinan Petronas.
“Sumbangan pakej prihatin ini adalah untuk kegunaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang akan diagihkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ia mengandungi keperluan asas seperti air mineral, selimut, peralatan mandian, makanan dan minuman,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Sebanyak 2,500 pakej bantuan prihatin disediakan Yayasan Petronas untuk mangsa banjir di Pantai Timur.
Tambahnya, Petronas peka dengan amaran episod hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Petronas katanya, turut menyampaikan sumbangan bahan api kepada pihak berkuasa dan agensi-agensi penyelamat yang menjalankan tugas membantu mangsa banjir di tiga negeri tersebut.-UTUSAN