PETALING JAYA: Pasukan Leonian Malaysia 1 berjaya meraih tempat ketiga pada kejohanan akhir Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) yang berlangsung di Haikou, China, baru-baru ini.
Pasukan itu yang diwakili Anushka Gayan dan Lee Robert berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dengan mengumpul 87 mata, membuktikan kehebatan serta komitmen mereka di pentas dunia.
Pencapaian ini sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan memantapkan kedudukan Leonian Malaysia dalam arena golf korporat global.
Anushka Gayan Wijerathne meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian yang diraihnya bersama pasukan.
“Ini adalah pengalaman luar biasa dan acara yang teratur dengan baik, dihadiri peserta dari 30 negara termasuk Malaysia. WCGC menyediakan platform unggul untuk jaringan perniagaan menerusi golf.
“Bersama Lee Robert, kami berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang gelaran ini. Walaupun menduduki tempat ketiga, kami tetap bangga dengan pencapaian ini dan berazam untuk tampil lebih hebat pada tahun hadapan,” katanya.
Selain itu, pasukan Team Leonian Malaysia 2, diwakili oleh Kong Tuck Keat dan Ang Khai Phang turut menunjukkan usaha yang baik dengan menduduki tempat ke-21 dengan 68 mata.
Sementara itu, Pengarah Urusan Elora Global Sdn. Bhd., Shoban Ramlu mengucapkan tahniah kepada keempat-empat pemain atas dedikasi dan komitmen mewakili Malaysia ke kejohanan final akhir dunia WCGC di Hainan.
“Tahniah kepada Anushka dan Lee yang berjaya menduduki tempat ketiga. Syabas juga diucapkan kepada Tuck Keat dan Khai Phang yang telah menunjukkan usaha terbaik mereka pada kejohanan ini,” katanya.
Pihak pengajur juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Skechers Malaysia, Templer Park Country Club, Spectrum Outdoor, Bridgestone Golf, Plus Max Duty Free, Iroas, ANC Textile, Tourism Malaysia, dan Kementerian Belia dan Sukan atas sokongan dan kerjasama mereka. – UTUSAN
Keputusan Akhir:
- Juara – Jepun (93 mata)
- Tempat Kedua – India (90 mata)
- Tempat Ketiga – Malaysia (87 mata)