JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga India didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM1,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Kalayakarente Prasad, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang ketika itu bekerja di kedai runcit didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa MBIP di Jalan Ronggeng 11, Taman Skudai Baru, Skudai, di sini pada pukul 11.50 pagi, 26 September 2023 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai berkenaan kerana meletakkan halangan dan membuat binaan kekal berupa sinki di kaki lima premis tanpa kebenaran di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin memberitahu mahkamah kesalahan tersebut tidak boleh dijamin tetapi menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.
Peguam bela tertuduh, Muhammad Faizzudin Abd. Ra’fik bagaimanapun memohon jaminan sebanyak RM3,000 dengan alasan tertuduh kini bekerja sebagai pembantu restoran dengan gaji RM1,500 sebulan dan mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan dan menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-UTUSAN