SUNGAI PETANI: Seorang warga emas maut terjatuh dari pokok petai berketinggian lebih 20 meter di sebuah kebun di Kampung Perlis, Tikam Batu di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8.20 pagi itu, Ahmad Yaakop, 60, ditemui tertiarap di bawah pokok petai dengan kecederaan parah di kepala, pergelangan tangan dan kaki oleh penduduk kampung.
Mangsa yang tinggal di Kampung Perlis, Simpor, dekat sini dikenali penduduk setempat sebagai pemanjat pokok petai sejak berusia 30 tahun.
Seorang kenalan mangsa yang mahu dikenali sebagai Ibrahim berkata, mereka sempat minum pagi bersama di sebuah kedai makan di Kampung Teluk Wang Besar, di sini.
“Mangsa biasanya akan bersarapan pagi sebelum memulakan tugasnya memanjat pokok petai. Selepas menurunkan petai, mangsa akan bawa hasil hutan itu ke Pasar Tikam Batu untuk dijual kepada peraih dan pelanggan sebelum mengagihkan hasil pendapatan antara dia dan pemilik pokok,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada adik mangsa, Abdul Rahman Yaakop, 51, pada pukul 8.30 pagi tadi.
Menurut beliau, semakan rekod perubatan mendapati mangsa tiada penyakit dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN