RANTAU PANJANG: Seorang lelaki warga emas lemas selepas terjatuh ke dalam perigi yang terletak di bawah rumahnya ketika sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh di Kampung Tasek Bakong, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Bahrum Ismail, 64, ditemui meninggal dunia di dalam perigi sedalam hampir lima meter.
Isterinya, Norma Mohd. Nor, 60, berkata, suaminya turun ke perigi berkenaan seorang diri untuk mengambil wuduk.
“Waktu itu saya dan tiga anak lain masih tidur tidak sedar arwah suaminya keluar rumah.
“Biasanya dia akan kejutkan saya. Pagi tadi dia tidak berbuat demikian kerana mungkin kasihankan saya kerana dia kejutkan saya kira-kira pukul 3 pagi kerana mengalami batuk-batuk.
“Anak bongsu, Khairi, 24, tersedar daripada tidurnya apabila terdengar sayup-sayup suara arwah meminta tolong. Saya bersama anak-anaknya mencari suara arwah di dalam rumah kerana menyangka dia terjatuh di dalam bilik air.
“Kami terkejut apabila mendapati arwah rupanya terjatuh ke dalam perigi. Saya nampak dia terkapai-kapai dan anak-anak terus mencampak tali, namun arwah sudah tidak berdaya kerana kepenatan sebelum tenggelam,” katanya ketika ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Norma memberitahu, dia reda dengan pemergian arwah suaminya yang baru sahaja keluar dari Hospital Pasir Mas dekat sini kira-kira tiga minggu lalu selepas ditahan di wad selama 21 hari kerana masalah jantung dan paru-paru.
Jenazah Bahrum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Licin di sini hari ini selepas solat zuhur.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Azmi Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.52 pagi sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Seorang anggota turun ke dalam perigi dan menggunakan kaedah ikatan tali untuk membawa keluar mayat.
Operasi mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit dan mayat warga emas itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN