'Waran tangkap Netanyahu: Ia satu kemenangan keadilan, kemanusiaan'

‘Waran tangkap Netanyahu: Ia satu kemenangan keadilan, kemanusiaan’

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan pelajar sekolah ketika hadir meluangkan masa menjamu selera di Medan Selera Presint 9, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai satu kemenangan bagi yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu tentunya membantu meringankan perasaan derita rakyat Palestin dan Gaza.

Menurutnya, keputusan ICC itu jug wajar kerana ia berlandaskan hukum dan bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan rakyat Palestin.

“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (Netanyahu) keluar harus ditangkap.

“Saya perhatikan ada beberapa negara Eropah yang telah buat kenyataan sedemikian,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna, Presint 9, di sini hari ini.

Anwar berkata, keputusan itu juga satu pengesahan tentang apa yang berlaku selama ini yang kadang-kadang dipertikaikan sebahagian orang.

Katanya, ICC adalah badan yang memutuskan berdasarkan hukum dan bukti.

Ditanya mengenai keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menentang keputusan dikeluarkan ICC itu, Anwar berkata, itu adalah keputusan AS tapi seluruh dunia pastinya menyokong perkara itu.

“Itu keputusan AS tapi saya rasa keputusan dunia sebaliknya,” katanya.

Selain Netanyahu, waran tangkap turut dikeluarkan terhadap bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.

Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.

Menurut pendakwaraya ICC, Karim Khan dalam satu kenyataan, waran tangkap itu dikeluarkan susulan pembabitan mereka dalam jenayah perang di Gaza dari 7 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.

Keputusan itu juga dibuat selepas mahkamah menolak hujah Israel mengenai kekurangan bidang kuasa ke atas waran tangkap Netanyahu dan Gallant. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN