RANAU: Seorang wanita warga emas rentung dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Muhibbah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang berusia 74 tahun itu ditemukan di dalam rumah pertama yang terbakar sepenuhnya.
Rumah pertama hangus sepenuhnya manakala rumah kedua terbakar 50 peratus.
Turut terbakar dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux yang hangus sepenuhnya manakala kereta Perodua Myvi terbakar empat peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.20 pagi.
“Selepas operasi memadam api selesai, anggota bertugas menemukan mayat seorang wanita warga emas di rumah pertama. Kemudian mayat mangsa yang dikenali sebagai Wong Ling Ying diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman terkawal pada pukul 2.28 pagi dan operasi tamat sepenuhya pada 4.14 pagi. – UTUSAN