DUNGUN: Seorang pemandu wanita yang berdepan dengan tiga pertuduhan membunuh penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun masih ditempatkan di Hospital Permai, Johor Bahru kerana laporan psikiatrinya belum siap.
Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengarah Pendakwaan negeri, Azizan Abdullah ketika sebutan semula kes itu berkata, pihaknya menerima permohonan pihak hospital untuk melanjutkan rawatan tertuduh, Norizan Ismail, 49, sementara menunggu laporan perubatan.
“Tertuduh sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod menjalani rawatan psikiatri jadi pihak hospital memohon satu perintah penahanan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dilanjutkan untuk menyiapkan laporan penuh kesihatan mental tertuduh,” katanya ketika prosiding sebutan semula kes itu, hari ini.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai sebutan semula kes tersebut.
Pada 15 Oktober lalu, ibu kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 yang menyebabkan kematian terhadap Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM Kampus Dungun di sini pada 9 Oktober lalu, pukul 7.35 malam.
Dalam kejadian itu, tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20,mengalami kecederaan.
Pada prosiding sebutan semula kes hari ini, tertuduh yang tidak dibawa ke mahkamah diwakili Peguam Norhabibah Norulalzahar.- UTUSAN