PASIR MAS : Seorang wanita dari Kampung Aur China di sini yang menderita penyakit kanser pangkal rahim tahap empat menangis selepas menerima sumbangan katil dari Yayasan Raja Shamri (YRS) semalam.
Sumbangan itu katanya, memberikan keselesaan buat dirinya yang sebelum ini hanya terlantar atas tilam.
“Syukur dan terima kasih kepada pihak Yayasan Raja Shamri kerana membantu meringan beban penderitaan saya alami.
“Sekurang-kurangnya ia turut memberikan semangat kepada saya dalam melawan penyakit ini sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Norazah Abdullah, 50, yang hilang upaya untuk bergerak, sebelum ini hanya terlantar di atas tilam dan bergantung harap kepada adik lelakinya untuk menguruskan diri termasuk ke tandas.
Pengerusi YRS Dr. Raja Shamri Raja Husin berkata, selain katil pihaknya turut meluluskan peruntukan segera untuk membaik pulih tandas, kerusi roda dan sedikit sumbangan wang.
Malah anaknya yang tercicir daripada persekolahan juga akan bersekolah semula pada Ahad ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang ibu yang menghidap penyakit kanser pangkal rahim tahap empat buntu memikirkan nasib tiga anaknya yang masih kecil selepas hilang upaya untuk bekerja sejak tiga bulan lalu.
Norazah turut menerima sumbangan dari Pelitawanis Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas. – UTUSAN