PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur membantu membawa turun seorang wanita yang mengalami patah kaki kiri selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah kondominium Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.56 pagi itu, wanita berusia 30-an berkenaan terselamat dan hanya mengalami kecederaan selepas terjatuh di atas bumbung tingkat bawah bangunan berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi membabitkan seramai tujuh anggota.
Katanya, kesemua anggota terlibat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil bersama sebuah jentera dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang diketuai Komander Operasi Rosmawi Ismail.
“Pasukan bomba berjaya membawa dan menurunkan mangsa sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu. – UTUSAN