RANTAU PANJANG: Tindakan seorang membawa enjin motosikal jenis Yahama RXZ yang diseludup dari Thailand membawa padah apabila ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Yasin di sini semalam.
Rampasan dan tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan anggota PGA pada pukul 7 malam selepas menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai empat buah enjin motosikal RXZ disyaki dari Thailand.
“PGA tidak menolak kemungkinan enjin motosikal itu untuk dijual di pasaran tempatan. Anggaran nilai rampasan adalah RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, hasil rampasan dihantar ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN