PETALING JAYA: Pemberi maklumat wajar didakwa terlebih dahulu di mahkamah berdasarkan pengakuan dan menangguhkan semua prosiding termasuk hukuman sehingga semua penjenayah berkaitan berjaya disabitkan kesalahan.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer berkata, ini akan memastikan pemberi maklumat tidak mengubah nadanya semasa perbicaraan melibatkan tertuduh lain.
Katanya, sebaik sahaja penjenayah disabitkan kesalahan, Peguam Negara boleh meminta agar pemberi maklumat tersebut dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
“Pada pandangan saya, jaminan kekebalan daripada pendakwaan yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 hanyalah satu gimik.
“Ini kerana pemberi maklumat yang didapati terlibat dalam jenayah yang sedang disiasat boleh kehilangan perlindungan yang diberikan,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu Hamid Sultan berkata, bagaimanapun, Peguam Negara mempunyai kuasa dan hak mutlak untuk merekodkan nolle prosequi (tidak meneruskan kes) terhadap pemberi maklumat yang telah didakwa atau tidak mendakwanya sama sekali selepas mengimbangi manfaat maklumat yang disalurkan
“Undang-undang membenarkan untuk memberikan kekebalan pemberi maklumat daripada didakwa dalam kes berkaitan jenayah tersebut walaupun mereka sendiri terlibat dalam kesalahan. Dan itu bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia undang-undang.
“Malah memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat adalah langkah bijak kerana ia membolehkan pihak berkuasa melakukan penyiasatan dan mendapatkan maklumat penting yang mampu membawa kepada sabitan dan membanteras kegiatan jenayah yang tidak diingini,” jelasnya.
Menurut Hamid Sultan, syarat perlindungan yang ditetapkan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bertujuan memastikan kawalan eksekutif agar institusi awam, agensi serta ahli eksekutif tidak terdedah tanpa penilaian sewajarnya terhadap maklumat didedahkan dan penglibatan pemberi maklumat dalam jenayah yang dilaporkan serta tahap kesalahannya.
“Akta tersebut hanyalah panduan prosedur yang boleh dirujuk oleh Peguam Negara ketika memutuskan sama ada untuk mendakwa pemberi maklumat di bawah undang-undang lazim atau statut.
“Bagaimanapun, Peguam Negara bertanggungjawab untuk mengambil kira mukadimah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan hanya menggunakan budi bicaranya untuk memihak kepada pemberi maklumat setelah pendakwaan terhadap pelaku awam berjaya disempurnakan,” ujarnya.
Tambah Hamid Sultan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 mengadaptasi amalan undang-undang lazim dengan mengekalkan budi bicara sama ada untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat dengan tertakluk kepada pematuhan ketat terhadap syarat-syarat yang ditetapkan untuk mereka. – UTUSAN