PUTRAJAYA: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebentar tadi.
Pasangan itu tiba kira-kira pukul 12.54 tengah hari dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah berwarna hitam.
Mereka hadir ke SPRM hari ini menyambung proses rekod keterangan oleh pegawai SPRM.
Turut kelihatan memasuki bangunan SPRM adalah peguam pasangan itu yang tiba lebih awal.
Menurut sumber, proses rakaman percakapan itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM mengambil keterangan pasangan itu di lokasi sama selepas mereka hadir pada pukul 2.30 petang dan selesai pada pukul 10 malam.
Proses itu dijalankan susulan laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta. – UTUSAN