KOTA BHARU: Rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang mengusung bangkai seekor harimau di Dabong, Kuala Krai di sini merupakan video lama dan kembali tular menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Bangkai haiwan karnivor itu ditemukan di Sungai Pergau oleh penduduk Kampung Kandek kira-kira pukul 3.30 petang pada 28 Jun lalu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan akan membedah siasat bangkai harimau belang yang ditemukan penduduk kampung di dalam Sungai Pergau, Kampung Kandek di Dabong dekat Kuala Krai.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tiada kesan kecederaan, tembakan atau jerat pada badan harimau belang itu selepas pemeriksaan awal fizikal dilakukan oleh anggota Perhilitan.
Menurutnya, bangkai binatang itu telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai di Perak untuk prosedur bedah siasat.-UTUSAN