Victoria Institution Cadet Corps Band (VICCB) terus mengekalkan gelaran juara dalam pertandingan kawad padang pada Malaysia International Marching Arts Championship (MIMAC) 2024 yang diadakan di Stadium Perak, Ogos lalu.
Pasukan pancaragam yang ditubuhkan pada tahun 1909 ini mempunyai ahli seramai 100 hingga 150 orang setiap tahun, terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.
Penolong Kanan Kokurikulum, Victoria Institution (VI), Mizy Mustapha berkata, penyertaan pasukan ini adalah terbuka dan pendaftaran dibuka pada setiap kali kemasukan pelajar Tingkatan 1, mengikut syarat dan kuota yang sesuai.
Mizy berkata, penyertaan pada setiap tahun sangat memberangsangkan kerana pelajar berebut-rebut hendak menyertai pasukan pancaragam tersebut.
“Semua pelajar yang berjaya mendaftar akan diasah kemahirannya sehingga dilihat layak dan berkemampuan menjadi wakil dalam pertandingan. “Antara rahsia kejayaan VICCB adalah latihan mingguan sebanyak tiga kali termasuk kem intensif yang dikenali sebagai ‘Band Camp’ untuk meningkatkan disiplin berpasukan dan mutu persembahan. Perbelanjaan yang tinggi diperlukan bagi menampung kos makanan, tempat tinggal dan keperluan lain setiap kali kem diadakan,” katanya ketika ditemu bual Utusan Pelajar baru-baru iin
MIMAC 2024 yang diadakan pada 8 hingga 10 Ogos lalu di Stadium Perak itu mendapat sambutan hangat dengan penyertaan lebih
2,000 peserta, pegawai dan guru daripada empat negara iaitu China, Indonesia, Sri Lanka dan tuan rumah Malaysia.
Kejohanan yang bermula sejak 2007 itu menampilkan barisan juri daripada Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand dan penganjuran kali ini mencatatkan sejarah apabila menerima penyertaan tertinggi berbanding sebelumnya di Johor Bahru.
Sementara itu, Pengarah VICCB, Nazmi Naim Abd. Ghani berkata, hanya pelajar yang komited dan berdedikasi akan diwakilkan ke pertandingan.
Jelasnya, maksimum pelajar yang akan dihantar bergantung kepada kategori yang disertai, seperti wakil pasukan ke MIMAC 2024 baru-baru ini adalah seramai 65 orang sahaja.
“Para jurulatih akan bergabung tenaga dalam melatih pelajar sehingga mencapai piawaian yang diperlukan.
“Pelajar tidak pernah berputus asa dan terus menjalani latihan atau kem dengan bersungguh-sungguh walaupun tidak menjadi wakil pertandingan,” ujarnya.
Nazmi Naim berkata, pihaknya tidak menyangka mampu memenangi pertandingan tahun ini dan bersyukur atas kejayaan dicapai selepas persediaan rapi yang dilakukan.
“Saya sangat bersyukur kerana segala usaha yang kami lakukan. Semangat sepasukan, kerjasama setiap ahli pancaragam serta ibu bapa, jurulatih, guru-guru, pihak sekolah membuahkan hasil,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sokongan Ibu Bapa (PSG), Leny Adam berkata, bagi mencapai kejayaan tersebut, ibu bapa turut memberikan sokongan moral dengan turun padang setiap kali latihan diadakan. Menurut beliau, ibu bapa sanggup mengeluarkan wang perbelanjaan yang banyak seperti membeli keperluan atau instrumen yang baharu selain mengorbankan masa menyokong anak mereka menyertai pertandingan.
“Selain itu, ada juga ibu bapa yang menjaga kebajikan anak serta pelajar lain dengan menyediakan bekalan makanan tambahan ketika latihan sedang dijalankan.
“Ahli VICCB ini sememangnya mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa lebih-lebih lagi terhadap pencapaian kokurikulum anak masing-masing dan saya amat hargai,” katanya. Berkongsi sejarah awal penubuhan VICCB, kumpulan tersebut berjaya mencatatkan beberapa pencapaian membanggakan termasuklah juara dalam World Association Marching Show Bands di Itali (2003 dan 2009), Denmark (2015) dan Taiwan (2018).
Pasukan ini turut memperoleh pingat emas dalam kejohanan pertandingan pancaragam dalam negara dari 2017 hingga 2024. Pihak sekolah, jurulatih dan ibu bapa berharap VICCB akan sentiasa bersemangat dan terus melakar kejayaan sehingga ke peringkat yang lebih mengagumkan. – UTUSAN