KUALA LUMPUR: Lapan individu termasuk tiga waris telah memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM60 juta daripada 25 defendan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua bekas Perdana Menteri dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu. Sesalinan dokumen terbabit diperoleh media hari ini.
Antara plaintif dalam tuntutan saman itu ialah dua orang anak mewakili bapa dan ibu mereka yang telah meninggal dunia, seorang suami menyaman bagi pihak isterinya, seorang surirumah yang juga telah meninggal dunia, pekerja pembersihan dan seorang tukang urut yang masing-masing mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum mengambil vaksik Covid-19.
Dua lagi ialah pekerja swasta yang tidak dibenarkan bekerja kerana enggan mengambil vaksin tersebut.
Selain Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr. Adham Baba; bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah WHO ,Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Pengeluar vaksin, Pfizer Inc., Pfizer Malaysia Sdn. Bhd. dan Sinovac Biotech Ltd. turut dinamakan sebagai defendan.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, plaintif terdiri daripada tiga waris menyatakan isteri, ibu dan bapa mereka telah mengalami komplikasi kesihatan dan kemudiannya meninggal dunia selepas menerima dua dos vaksin Sinovac dan satu dos penggalak Pfizer.
Tiga lagi mendakwa mereka tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum mengambil vaksin berkenaan namun selepas mengambil dua dos vaksin telah mengalami sakit kulit yang teruk, diserang angin ahmar sehingga terpaksa menggunakan tongkat dan mengalami lemah badan sehingga perlu menggunakan kerusi roda.
Dua lagi mendakwa telah menjadi mangsa diskriminasi selepas tidak dibenarkan untuk memasuki tempat kerja dan diarahkan untuk mengambil cuti tanpa gaji atau berhenti kerja selepas enggan mengambil vaksin berkenaan.
Kesemua plaintif mendakwa, WHO dan Ghebreyesus telah membuat pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik Covid-19 pada 11 Mac 2020 dan kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggota, termasuk Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Plaintif juga mendakwa, vaksin eksperimen beracun telah digunakan untuk menangani pandemik yang dianggap palsu itu.
“Semua defendan amat cuai, sama ada dengan tidak menjalankan penyelidikan klinikal dan/atau pemeriksaan yang betul mengenai kesahihan Covid-19 dan keselamatan vaksin eksperimen bertoksik ini,” menurut penyataan tuntutan tersebut.
Selain ganti rugi berbentuk wang, lapan plaintif itu turut memohon pengisytiharan termasuk Covid-19 adalah “palsu, wabak senjata biologi ciptaan manusia yang dibuat untuk menyerupai demam selsema bermusim (seasonal flu)”.
Mereka juga menuntut mahkamah mengeluarkan perintah agar kerajaan menghentikan suntikan “vaksin eksperimental beracun,” serta membatalkan semua jenis dan bentuk program seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) serta-merta.
Mereka juga menuntut perintah mahkamah agar Anwar dan kerajaan menarik diri daripada menjadi anggota WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang didakwa sebagai “penjenayah terancang yang bersekongkol untuk merampas kedaulatan negara-negara anggotanya termasuk Malaysia”. – UTUSAN