JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak berdepan masalah kebolehpasaran graduan atau graduan yang terpaksa bekerja dalam sektor rendah dan tidak setimpal dengan tahap pendidikan mereka.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, dianggarkan sebanyak 18.4 peratus graduan ijazah pertama universiti itu beroleh pekerjaan dengan gaji premium, iaitu melebihi RM4,000 sebulan.
Menurutnya, peratusan itu diperoleh berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertarikh 30 April lalu.
“Data semasa SKPG bagi Majlis Konvokesyen Ke-68 pada tahun ini menunjukkan peningkatan kepada 21.6 peratus, iaitu seramai 480 daripada 2,225 graduan ijazah pertama UTM berstatus bekerja.
“Ini adalah bukti UTM melahirkan graduan berkualiti daripada aspek akademik, kemahiran dan adab. Semua ini relevan bagi memenuhi permintaan pasaran kerjaya yang progresif.
“Di UTM, masalah kebolehpasaran graduan tidak berlaku. Kita ada 20 universiti awam dan 355 kolej atau universiti swasta, namun kita tidak tahu pihak mana berdepan masalah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen Ke-68 UTM, di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan seramai 1.95 juta graduan lepasan universiti di negara ini bekerja dalam sektor lebih rendah yang tidak setimpal dengan kelulusan dimiliki mereka.
Sementara itu, Ahmad Fauzi turut memberitahu, peratusan graduan ijazah pertama UTM yang bekerja di syarikat multinasional mencatat rekod 22.6 peratus berdasarkan data semasa.
“Pencapaian itu selaras aspirasi UTM, iaitu menjelang 2030 mahu menghasilkan Graduan Premium Tier 1. Kelompok graduan ini berjaya menempatkan diri dengan pendapatan premium lebih RM4,000 di syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Alumni UTM juga banyak membantu kebolehpasaran graduan baharu. Ini menunjukkan kurikulum kami, hubungan serta kepercayaan pihak industri menjadi pemangkin bagi kebolehpasaran graduan kami,” jelasnya. – UTUSAN