JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempertimbangkan untuk membuka kursus jangka pendek dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) sekiranya terdapat permintaan.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pihaknya mempunyai kepakaran dalam menyediakan kursus berkenaan dengan tenaga mahir seramai lebih 100 pensyarah.
Menurut beliau, pengambilan sesi pertama bagi pengajian Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian di Kampus UTM Kuala Lumpur telah dibuat pada 29 September lalu.
“UTM yang menempatkan Fakulti AI pertama di Malaysia telah menyaksikan seramai 126 penuntut sepenuh masa berdaftar dengan 27 daripadanya merupakan penuntut antarabangsa.
“Kami ada rancangan sediakan kursus jangka pendek AI. UTM memiliki lebih 100 pakar dalam pelbagai disiplin AI, jadi tiada masalah untuk sediakan program bagi golongan dewasa dan bekerja,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di universiti awam itu, di sini.
Kata Ahmad Fauzi, kursus tersebut boleh diadakan di mana-mana kampus UTM sama ada di Johor Bahru mahupun di Kuala Lumpur mengikut permintaan.
Sementara itu, beliau berkata, Fakulti AI UTM menerima 40,000 permohonan namun hanya 452 pemohon menjadikan fakulti itu sebagai pilihan pertama dan kedua dalam sistem UPUOnline®.
“Penubuhan fakulti ini diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan UTM berjaya menubuhkannya dalam tempoh empat bulan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Penubuhan fakulti ini mampu menjadikan teknologi AI sebagai pemangkin kepada inovasi dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim,” jelasnya lanjut.– UTUSAN