KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima dana RM500,000 bagi pelaksanaan 12 projek berimpak tinggi di bawah inisiatif Komuniti@UniMADANI bagi memperkasa komuniti dan pembangunan lestari.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata, hampir separuh daripada jumlah dana iaitu RM213,000 diperuntukkan kepada penyelidik Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) UMT untuk memajukan komuniti setempat.
Jelasnya, dana tersebut adalah hasil kepercayaan Kementerian Kewangan Malaysia kepada UMT dalam mengukuhkan hubungan universiti dengan komuniti melalui pelbagai inisiatif sosial.
“Tahniah kepada FPSM yang telah berjaya memperoleh peruntukan ini. Ia membuktikan keyakinan pihak kementerian terhadap keupayaan UMT dalam melaksanakan projek yang berteraskan inovasi sosial.
“Pelaksanaan projek-projek dilihat berupaya memberi impak positif, bukan sahaja dari segi peningkatan taraf hidup komuniti tetapi juga dalam menyokong agenda kelestarian negara, katanya.
Mengulas lanjut, Marinah berkata, inisiatif ini seiring dengan usaha UMT dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) termasuk SDG 2 untuk pembasmian kelaparan dan SDG 17 bagi kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti.
“Harapan saya agar pelaksanaan projek ini dapat mengukuhkan kedudukan UMT sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja berfokus pada penyelidikan akademik tetapi juga memenuhi tanggungjawab sosial.
“Kepercayaan ini adalah satu pengiktirafan kepada UMT untuk meneruskan komitmen kami dalam memberi impak positif kepada komuniti sekitar melalui pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti komuniti,” katanya. – UTUSAN